TUGAS seorang pengamal perubatan sungguh mulia.
Membantu menyelamatkan nyawa manusia dan menghilangkan kesakitan kepada
pesakit (dengan tidak dinafikan bahawa segalanya adalah ketentuan dari
Allah jua).
Sesiapa yang menceburi bidang ini, sama ada doktor, jururawat atau
seumpamanya adalah khusus bagi menolong kehidupan manusia sejagat.
Inilah kemahiran yang sukar diperoleh. Malah untuk menjadi seorang
doktor, sela masa yang lebih lama di universiti berbanding dengan
profesyen lain.
Oleh kerana keistimewaan inilah tugasan yang diberikan amat besar.
Justeru, tugasan ini tidak boleh diberikan kepada orang yang tidak
khusus belajar mengenai hal ehwal merawat pesakit. Lebih besar lagi
taklifan yang diberikan kepada para pengamal perubatan ini apabila ada
di antara mereka menceburi bidang yang lebih spesifik dalam ilmu dan
dunia perubatan.
Sebagai contohnya pembedahan jantung oleh pakar Jantung, hal-hal
khusus sakit puan oleh pakar sakit puan. Ada yang mengambil kepakaran
sakit tulang, sakit kanak-kanak, sakit berkaitan darah dan sebagainya.
Pendek kata bukan calang-calang orang sahaja yang mengambil bidang yang
penting ini.
Ilmu Allah ini juga tidak tertakluk kepada lelaki mahupun wanita.
Ianya bergantung kepada kecenderungan masing-masing dan minat yang
mendalam dalam sesuatu disiplin ilmu spesifik itu.
Menjaga Batas Syariat
Tidak sihat seseorang itu boleh membawa kepada hidup tidak
berkualiti. Kerja terganggu. Ibadah pun terbatas. Malah penyakit yang
dialami boleh membawa maut jika tidak diurus dengan baik oleh perawat
yang berkemahiran di dalam sesuatu bidang penyakit tersebut.
Namun disana timbul satu isu apabila kita sebagai seorang muslim,
perlu menjaga batas syariat yang ditetapkan dalam agama seperti menjaga
aurat sepanjang waktu. Aurat lelaki antara pusat dan lutut bagi
masyarakat umum. Manakala aurat wanita adalah muka dan tapak tangan
boleh didedahkan.
Batasan aurat ini boleh terangkat hukumnya jika berlaku darurat. Apa
yang dimaksudkan darurat di sini sebagai contohnya jika wanita yang
sudah sampai waktu bersalin, wajib hadir disisinya seorang pembantu yang
mahir dalam selok belok kelahiran dan membantu proses berkaitan dengan
kelahiran agar terjamin nyawa ibu dan anak.
Penjagaan batas aurat ini tidaklah termasuk dalam lima perkara
penting tujuan diturunkan syariat (maqasid syar’iyyah); iaitu untuk
menjaga agama, akal, nyawa, maruah dan harta.
Penggunaan hukum darurat bagi menjaga aurat semasa merawat ini tidak
terpakai secara langsung. Cuma hukum darurat ini digunapakai secara
tidak langsung apabila ketidakhadiran orang yang mahir (sama ada lelaki
atau wanita) boleh mengakibatkan nyawa siibu atau sianak yang akan
dilahirkan terancam.
batasan hukum penjagaan aurat
Batasan hukum penjagaan aurat dalam bidang perubatan ini boleh
diletakkan sebagai rukhsah. Rukhsah bermaksud keringanan yang dibenarkan
syariat atas keadaan-keadaan tertentu.
Keringanan ini juga disebut sebagai ‘takhfif’ selain rukhsah. Ia
adalah bentuk kemudahan yang diberikan oleh Islam bagi setiap hamba-Nya
yang berada pada keadaan tertentu. Ibnu Nujaim menyebutkan bahwa rukhsah
terdiri dari beberapa jenis:
Pertama: Menggugurkan (takhfif isqath), seperti pengguguran kewajiban solat Jumaat kepada orang yang sakit kronik.
Kedua: Mengurangkan (takhfif tanqish), seperti qasar solat empat
rakaat menjadi dua ketika dalam keadaan musafir; dibolehkan solat sesuai
dengan kemampuan bagi seseorang yang dalam keadaan sakit dan yang
lainnya.
Ketiga: Menggantikan (takhfif ibdal). Misalnya mengganti wuduk air
dengan tayamum menggunakan debu diakibatkan tidak adanya air yang
digunakan untuk berwuduk.
Keempat: Mendahulukan (takhfif taqdim), seperti rukhsah jamak taqdim.
Kelima: Mengakhirkan (takhfif takhir). Ini termasuklah rukhsah jamak takhir, melewatkan solat Isyak dan lain-lain.
Keenam: Meringankan (takhfif tarkhish), seperti dibolehkan minum arak
jika tercekik sesuatu apabila tiada minuman lain di sekelilingnya.
Ketujuh: Mengubah (takhfif taghyir). Misalnya perubahan bentuk perbuatan solat menjadi lebih ringan ketika terjadi peperangan.
[Lihat Imam Musbikin, Qawa’id al-Fiqhiyah, Jakarta: PT. Raja Grafindo Persada, 2001]
Dalam konteks yang dibincangkan ini, kehadiran perawat untuk merawat
pesakit diringankan hukum melihat auratnya kerana kemahiran yang ada
bagi perawat dan kemaslahatan yang timbul atas pesakit.
Jika digabungkan jenis rukhsah, takhfif tarkhish akan diguna pakai.
Dengan sendiri isu perawat lelaki tidak timbul. Kehadiran perawat yang
berkemahiran amat dituntut demi menjaga kemashlahatan nyawa pesakit.
Jika tidak melibatkan nyawa sekalipun seperti dalam pemeriksaan
biasa, sentuhan dari perawat amat penting bagi menjamin kesinambungan
penjagaan kesihatan yang berterusan. Lebih-lebih lagi perawat itu adalah
lelaki yang lebih berkemahiran. Kerana aurat kemaluan wanita bukan
sahaja lelaki ajnabi yang haram melihatnya, wanita pun haram melihatnya
tanpa sebab yang khusus seperti berubat.
Namun dari satu sudut yang lain sifat dan naluri seorang manusia
tidak boleh lari dari malu mendedahkan anggota sulit mereka kepada
sesiapa sahaja. Disinilah perlunya satu etika khusus dalam berubat dan
merawat. Iaitu tidak sewenangnya mengambil ruang rukhsah tersebut dalam
mangambil kesempatan melihat aurat diluar dari batas yang sepatutnya.
____________________
Dr Suhazeli Abdullah ialah Pakar Perubatan Keluarga